Saturday, June 22, 2013

Kesan Zikirullah Terhadap Otak Manusia


Otak hanyalah aktiviti-aktiviti bio-elektrik yang melibatkan sekumpulan saraf yang dipertanggungjawabkan untuk melakukan tugas-tugas tertentu bagi membolehkan ia berfungsi dengan sempurna. Setiap hari 14 juta saraf yang membentuk otak ini berinteraksi dengan 16 juta saraf tubuh yang lain.Semua aktiviti yang kita lakukan dan kefahaman atau ilmu yang kita peroleh adalah natijah daripada aliran interaksi bio-elektrik yang tidak terbatas.

Oleh itu, apabila seorang itu berzikir dengan mengulangi kalimah-kalimah Allah, seperti Subhanallah, beberapa kawasan otak yang terlibat menjadi aktif. Ini menyebabkan berlakunya satu aliran bio-elektrik di kawasan-kawasan saraf otak tersebut.

Apabila zikir disebut berulang-ulang kali, aktiviti saraf ini menjadi bertambah aktif dan turut menambah tenaga bio-elektrik. Lama-kelamaan kumpulan saraf yang sangat aktif ini mempengaruhi kumpulan saraf yang lain untuk turut sama aktif. Dengan itu, otak menjadi aktif secara keseluruhan. Otak mula memahami perkara baru, melihat dari sudut perspektif berbeza dan semakin kreatif dan kritis, sedang sebelum berzikir otak tidak begini.

Otak yang segar dan cergas secara tidak langsung mempengaruhi hati untuk melakukan kebaikan dan menerima kebenaran. Hasil kajian makmal yang dilakukan terhadap subjek ini dimuatkan dalam majalah Scientific American, keluaran Disember 1993.

Satu kajian yang dilakukan di Universiti Washington dan ujian ini dilakukan melalui ujian imbasan PET yang mengukur kadar aktiviti otak manusia secara tidak sedar. Dalam kajian ini, sukarelawan diberikan satu senarai perkataan benda. Mereka dikehendaki membaca setiap perkataan tersebut satu persatu dan mengaitkan perkataan-perkataan dengan kata kerja yang berkaitan. Apabila sukarelawan melakukan tugas mereka, beberapa bahagian berbeza otak mempamerkan peningkatan aktiviti saraf, termasuk di bahagian depan otak dan korteks.

Menariknya, apabila sukarelawan ini mengulangi senarai perkataan yang sama berulang-ulang kali, aktiviti saraf otak merebak pada kawasan lain dan mengaktifkan kawasan saraf lain. Apabila senarai perkataan baru diberikan kepada mereka, aktiviti saraf kembali meningkat di kawasan pertama.

Ini sekali gus membuktikan secara saintifik bahawa perkataan yang diulang-ulang seperti perbuatan berzikir, terbukti meningkatkan kecergasan otak dan menambah kemampuannya. Oleh itu, saudara-saudaraku se-Islam, ketika saintis Barat menemui mukjizat ini, kita umat terpilih ini telah lama mengamalkannya dan menerima manfaatnya. Malang bagi mereka yang masih memandang ringan kepentingan berzikir dan mengabaikannya.

ISTIKHARAH CINTA PERLU MUJAHADAH

ISTIKHARAH CNTA
Kekadang mahmudah tidak kecapaian
Hanya dengan indahnya permulaan
Tapi harus ditempa oleh tusukan ujian
Dari kesakitan, kegagalan dan persengketaan...
sepanjang perkahwinan
Seringkali dosa dan mazmumah
Ditandai oleh retaknya ukhwah
Sejauh mana kasih cinta kita berdua
Dibatasi oleh cinta kita pada yang Esa
Teguh iman, kukuhlah percintaan

Kekadang Allah menyempitkan...
Supaya kita tak hanyut dalam kesenangan
Kekadang Dia melapangkan...
Supaya kita tak selalu dipagut kesempitan
Kekadang Dia melepaskan kita dari kedua-duanya
Supaya tidak bergantung kepada sesuatu
selain-Nya!
.
Istikharah cinta kita...
Inilah tagihannya
Istikharah cinta kita...
Mujahadah itulah maharnya!
 

Monday, December 31, 2012

Sambut Tahun Baru Mengikut Islam ^_^




BERASASKAN peredaran bulan dan matahari manusia mencipta kalendar Hijriah dan Masehi. Bagaimanapun, kalendar Masehi lebih banyak digunakan dalam pelbagai urusan, manakala kalendar Hijriah sesekali saja dan itu pun untuk tujuan keagamaan. Apa pun, kedua-dua sistem kalendar itu atas ketentuan Allah.

Ayat 5, surah Yunus bermaksud: *Dialah (Allah) yang menjadikan matahari bersinar-sinar dan bulan bercahaya. Dialah yang menentukan perjalanan setiap satu itu (berpindah-randah) pada tempat peredarannya masing-masing supaya kamu dapat mengetahui bilangan tahun dan kiraan masa....*


Rasulullah menetapkan umat Islam mesti mengikut peredaran bulan bagi menentukan bulan dan tahun mereka, bukannya peredaran matahari. Ia bertepatan dengan sabda baginda yang menjelaskan setiap bulan sama ada 29 atau 30 hari.

Jika mengikut kalendar Masihi, kita kini berada di tahun baru. Bagi manusia yang waras, ketibaan tahun baru ini sudah tentu menjadi satu kebanggaan, tidak kira mereka hamba yang taat, suka melakukan maksiat, kufur terhadap Allah atau langsung tidak mempunyai ideologi.Kebanggaan ini dapat dilihat apabila pelbagai acara sambutan diadakan dan dalam kepelbagaian acara ini, ada yang menjurus kepada keredaan Allah dan tidak kurang pula terjebak dengan unsur maksiat.

Hamba yang takut terhadap Allah menyambutnya dengan penuh rasa keinsafan dan menyesal atas kesilapan tahun lalu, malah berazam untuk tidak melakukannya lagi. Mereka juga istiqamah pada landasan pengabdian. Mereka yang lalai lazimnya menyambut kedatangan tahun baru dengan pesta yang boleh mendatangkan unsur syirik dan maksiat. Golongan ini, sama ada dalam keadaan sedar atau tidak memekik seperti dirasuk.

Kepelbagaian acara sambutan tahun baru menyebabkan sesetengah masyarakat keliru, yang mana berunsurkan Islam, kebaratan dan langsung menyimpang daripada sebarang ajaran agama di dunia?

Dalam hal ini, Pengarah Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya, Prof Datuk Dr Mahmood Zuhdi Ab Majid, berkata walau apa pun cara sambutan ia perlu diawasi supaya tidak terkeluar daripada adab keislaman.

Menurutnya, semua masyarakat perlu menyambut tahun baru dengan penuh keinsafan, melihat kembali apa yang dilakukan setahun lalu dan cuba berfikir mengenainya supaya menjadi pengajaran dalam menjalani kehidupan.

*Menyambutnya bukan dengan memekik dan melolong. Kita kena bersyukur dan bermunajat, iaitu berdoa supaya mendapat kebaikan pada tahun baru,* katanya, sambil menambah, tiada tegahan dalam Islam terhadap acara menyambut tahun baru masehi, malah mengiktirafkannya.

*Benda macam itu, tiada masalah. Tidak semestinya kena solat hajat. Cuma acara sambutan itu hendaklah ada batasannya,* katanya. Dr Mahmood Zuhdi berkata, sambutan yang dihiasi dengan pekikan dan sorakan berlebih-lebihan sehingga melalaikan bukan saja dari sudut ajaran Islam, malah langsung tidak disebut dalam agama lain, termasuk Kristian.
*Sambutan seperti itu cara orang terpesong daripada agama. Kristian sendiri ada caranya. Aliran macam itu terjadi disebabkan arus pemodenan. Tamadun Barat sendiri, mereka tinggal agama,* katanya.
Katanya, walaupun hampir keseluruhan orang Barat menganuti Kristian, kebanyakannya memisahkan agama itu daripada kehidupan mereka, malah memperlekehkannya. Justeru, menurutnya, tidak wajar umat Islam di negara ini meniru cara orang Barat khusus mengenai cara sambutan tahun baru, kerana cara mereka itu sendiri terkeluar dari ajaran agama mereka.

Dari satu sudut kedatangan tahun baru secara langsung membawa makna usia seseorang itu semakin meningkat dan jangka hayat semakin pendek, menunjukkan kita semakin hampir dengan maut.

Walau apa pun aspek ini jarang diambil peduli, melainkan golongan muqarrabin (hamba mendampingi Allah). Kedatangan tahun baru Masehi ini juga diharap melakarkan detik sejarah yang menggembirakan, bukan lagi peristiwa pahit dengan pelbagai tragedi memilukan seperti tahun lalu yang tidak henti-henti mengejutkan masyarakat.

Dalam mengimpikan lakaran manis ini, tekad dan usaha semestinya dipertingkatkan. Kejayaan sekali-kali tidak datang bergolek. Begitu juga dengan kebaikan, tanpa azam dan pegangan kukuh pada nilai murni tidak dapat dicapai.

Bagi mencorakkan perjalanan hidup sepanjang tahun ini, asas utama perlu ditekankan ialah tujuan hidup, iaitu semata-mata untuk beribadah, bukan untuk berseronok atau sebarang kepentingan lain.

Ini sesuai dengan kejadian manusia seperti dihuraikan Allah melalui sepotong ayat daripada surah al-Dzariyat yang bermaksud: "Tidak Aku jadikan jin dan manusia melainkan untuk beribadah kepada-Ku." Merujuk kepada maksud ayat itu, kehidupan manusia tidak lain bertujuan beribadah pada Allah.

Pengertian ibadah itu bukan dalam konteks sempit, setakat solat dan puasa, malah meluas sesuai dengan ungkapan *Islam adalah cara hidup.*Ibadah yang sempurna lahir apabila akidah betul, iaitu mengesakan Allah dan mentaati syariat dibawa Rasulullah.

Ini membawa makna ibadah yang dilakukan dengan tidak menetapi kehendak itu sia-sia. Justeru, apabila tindak-tanduk menyimpang dari asas utama itu kehidupan seseorang itu menjadi sia-sia dan tiada makna, walaupun bersama-sama orang lain melangkah ke tahun baru dan mendapat limpahan kesenangan duniawi.

Cabaran dan dugaan menunggu di depan, sama ada dalam rupa keseronokan atau kesedihan dan kesenangan atau kealpaan. Tiada yang mengetahui, selain Allah. Bagi menghadapinya, kita perlu muhasabah diri dan seboleh-bolehnya melakukan yang terbaik setiap hari.

Umat Islam juga harus menjadikan tahun baru ini sebagai titik tolak untuk memperelokkan akhlak, dengan mencontohi peribadi Rasulullah. Baginda contoh terbaik, sehingga diiktirafkan melalui firman Allah, bermaksud: "Sesungguhnya engkau (wahai Muhammad ) mempunyai akhlak yang paling mulia." (Al-Rum:4) Saidatina Aisyah apabila ditanya mengenai akhlak Rasulullah, berkata: "Akhlak baginda itu adalah al-Quran".

Aspek ini merangkumi terhadap Pencipta seperti cinta, taat atau patuh yang tidak terkira, malah bersifat sabar, reda, syukur, takwa, wara', zuhud dan ikhlas dalam setiap amalan. Sesama manusia perlu adil, jujur, suka menolong dan tidak berdengki khianat supaya dengan asas ini dapat menikmati kehidupan dalam harmoni sepanjang tahun.

Sunday, December 30, 2012

Siapa Kita Tanpa Allah~



Sebenarnya dalam hidup ini apa yang kita cari? Ada yang menjawab harta, wang ringgit, kebahagiaan, keluarga yang bahagia, kawan yang ramai dan sebagainya. Namun, walaupun semuanya ada digenggaman, ada kalanya kita merasa resah. Walau acap kali kita merasa terlalu bahagia seperti dunia ini kita yang punya kerana, rasa gelisah tetap juga mengusik jiwa... Tidak tahu apa puncanya...
Kenapa ada waktu kita resah dan ada waktu pula kita merasa bahagia?
Cuba sahabat-sahabat meletakkan tangan ke dada dan rasa degupan jantung anda serta sebutlah astaghfirullahal 'Azim dengan rendah hati.... Apa yang sahabat rasa? Seakan wujud satu rasa keinsafan dan kesedihan bukan? Sedih itu bukan bererti kita sedih meratapi tetapi sebenarnya ketenangan yang abadi hinggap di hati apabila kita mengingati Allah.
Cuba sahabat-sahabat tunduk, merasakan diri ini lemah di hadapan Allah. Mata yang melihat ini anugerah Allah, tangan yang bergerak ini kepunyaan Allah, kaki yang berjalan ini milik Allah... Apa yang sahabat rasa? Pastinya timbul rasa kerendahan hati di hadapan Allah bukan? Dan tidak semena-mena perasaan resah gelisah yang tidak tahu puncanya itu hilang sedikit demi sedikit...
Pada waktu kita merasakan terlalu sedih, hina dan tidak berdaya, kita cuba menyebutastaghfirullahal 'Azim... Mengenang kembali dosa-dosa yang terdahulu seterusnya memohon ampun kepada Allah dengan bersungguh-sungguh. Adakalanya kita merasakan diri kita bebas dari dosa. Sepanjang hidup kita tidak pernah melakukan dosa.
Apakah maksud perasaan itu? Ia bermaksud kita sombong di hadapan Allah. Kita merasakan diri kita sudah terlepas dari azab seksa atas usaha kita sendiri bukan atas belas ehsan dari Allah SWT.


Ingatkah sahabat pada kisah seorang ahli ibadah ketika dia ingin dimasukkan ke dalam syurga? Dia bertanya kepada Allah.
"Mengapakah aku dimasukkan ke syurga?"
Lantas Allah menjawab, "Kerana rahmatKU engkau masuk ke syurga"
Lelaki itu membalas,  "Tidak, aku mahu masuk ke syurga kerana ibadahku yang banyak ini". 
Lalu Allah lemparkannya ke neraka kerana kesombongannya di hadapan Allah.
Seketika kita berasa diri kita kosong, tanpa ada sebab yang kukuh. Sehingga kita tertanya-tanya apa sebenarnya yang kita telah lakukan sebentar tadi sehingga kita terasa sebegitu kosong. Ini kerana kita belum temui lagi kebahagiaan dan ketenangan yang sebenar. Kita lupa apa tujuan kita hidup iaitu untuk beribadah kepada Allah.
Apa sahaja yang kita rasa samada bahagia atau sengsara, kuncinya adalah dengan kembali kepada Allah. Akhirnya kita akan temui apa yang kita cari selama ini apabaila hati diikat pada tali Allah. Kita memerlukan Allah dalam hidup kita sedangkan Allah tidak memerlukan sesiapa...
Siapa kita tanpa tuhan yang mencipta... Di mana kita layaknya jika Allah tiada di hati?

Saturday, December 29, 2012

Bersyukurlah Hati Saat Diuji~


Saat diri dilanda musibah, barulah kita sedar akan kudrat kita sebagai hamba Allah. Kita menjadi lemah, tidak berdaya, malah hampir berputus asa terhadap apa yang menimpa kita. Agaknya, kita lupa bahawa Allah memberi ujian berdasarkan kesanggupan kita.
Musibah dirasakan terlalu berat. Tidak mampu dipikul. Sampai satu tahap, kita merasakan hidup kita sudah tidak ada harapan lagi. Lalu kita duduk mengeluh pada Allah, memohon agar dihilangkan ujian itu.
"Allah tidak membebani seseorang melainkan sesuai dengankesanggupannya. Ia mendapat pahala (dari kebajikan) yang diusahakannya dan ia mendapat siksa (dari kejahatan) yang dikerjakannya." 
[2:286]
"Ya Allah.. mengapa aku diuji dengan musibah ini? Sesungguhnya aku tidak berdaya menanggungnya. Maka hilangkanlah musibah ini Ya Allah.. Hilangkanlah.."
"Ya Allah.. sembuhkanlah kembali kaki aku. Sembuhkanlah ya Allah.. Aku tidak sanggup menanggung derita kesakitan ini. Sembuhkanlah Ya Allah.."
"Ya Allah.. bilakah kesusahan ini akan berakhir? Hidup aku susah Ya Allah.. Aku tidak tahan menghadapinya. Bantulah aku Ya Allah.. Berilah rezeki kepadaku Ya Allah.."
Begitulah antara sedikit luahan hati seseorang insan yang mengaku lemah ketika ditimpa sesuatu musibah. Kesusahan, kemudaratan, kemelaratan, kesakitan, kekurangan dan segala jenis ujian yang datang dipinta agar segera pergi.
Amalan soleh seperti mengerjakan solat, membaca Al-Quran, berzikir, bersedekah, dan sebagainya mula dilakukan dengan serius. Kebergantungan pada Allah dipanjatkan dengan doa yang penuh kesungguhan. Kita bersungguh-sungguh merayu dan meminta sehingga mengalir air mata pengharapan.
Namun..

Apa sudah jadi dengan diri kita apabila Allah mengabulkan doa dan menghilangkan musibah yang kita alami? Bagaimana kehidupan kita selepas Allah menggantikan musibah itu dengan nikmatNya? Ke mana perginya amalan-amalan soleh yang dahulunya diusahakan untuk taat kepada Allah?Mengapa dibiarkan amalan itu lenyap ketika nikmat muncul?
Alangkah malangnya jika perkara sedemikian berlaku dalam diri kita. Sangat jelas menunjukkan bahawa kita tidak serius dalam kehidupan. Kita hanya mengingati Allah dan berdoa kepadaNya ketika ditimpa musibah atau bala. Kita lalai dalam menjalankan keimanan kepada Allah. Buruk sungguh perangai kita di hadapan Allah. Musibah hilang, doapun hilang..
"Dan apabila manusia ditimpa kemudharatan dia berdoa kepada Kami dalam keadaan berbaring, duduk atau berdiri, tetapi setelah Kami hilangkan mudharat itu daripadanya, dia (kembali) melalui (jalannya yang sesat), seolah-olah dia tidak pernah berdoa kepada Kami untuk (menghilangkan) mudharat yang telah menimpanya. Begitulah orang-orang yang melampaui batas itu memandang baik apa yang selalu mereka kerjakan."
[10:12]
Perhatikanlah bagaimana reaksi Allah terhadap manusia seumpama ini;
Dan apabila manusia itu ditimpa kemudharatan, dia memohon (pertolongan) kepada Tuhannya dengan kembali kepada-Nya. Kemudian apabila Tuhan memberikan nikmat-Nya kepadanya, lupalah dia akan kemudharatan yang pernah dia berdoa (kepada Allah) untuk (menghilangkannya) sebelum itu, dan dia mengada-adakan sekutu-sekutu bagi Allah untuk menyesatkan (manusia) dari jalan-Nya.
Katakanlah: "Bersenang-senanglah dengan keingkaranmu itu buat sementara waktu. Sesungguhnya kamu termasuk penghuni neraka". 
[39:8]
Sahabat-sahabat semua..Ubahlah perangai kita. Abdikanlah diri sepenuhnya kepada Allah, tidak kira waktu susah ataupun senang. Apabila diri kita hanya melaksanakan ketaatan kepada Allah ketika ditimpa musibah, nescaya akan rugi besarlah kita.
Kita akan dibiarkan hidup bersenang-senang di dunia ini buat seketika. Lalu dibiarkan hidup menderita sengsara di Neraka buat selama-lamanya. Mahukah? Na'uzubillah!!

Thursday, December 27, 2012

Takdir Itu KetentuanNya



Di saat kita mengatur langkah, merancang untuk menuju ke fasa yang penuh cabaran dan mehnah, adakah impian untuk membina baitulmuslim akan mempunyai pengakhiran yang indah belaka? Adakah niat kita untuk berbaitulmuslim benar-benar tepat dengan matlamat asalnya iaitu menikah di jalan dakwah?
Takdir yang bakal tiba segalanya berada digenggamanNya. Kita hanya mampu bertanya namun, jawapannya akan terjawab tatkala kita sudah pun berada di'dalamnya' - alam berumahtangga.
Terdapat beberapa kisah benar wanita solehah yang ingin ana kongsikan bersama-sama untuk dijadikan sebagai satu motivasi supaya akhowat tetap teguh sebagai seorang Da'ie di jalanNya. InsyaAllah.
Kisah 1

Kagum sungguh dengan ukhti yang seorang ini. Sebelum ukhti ini berubah, dia pernah bercouple dengan seorang akhi. Dahulu kedua-duanya masih lagi di jalan kejahilan. Dan selepas Allah memberikan hidayah kepada ukhti ini terlebih dahulu dia terus-terusan bermujahadah di jalan Allah.
Bertahun-tahun lamanya ukhti ini bermujahadah. Manakala akhi ini pula terus-terusan cuba untuk menganggu ukhti tersebut dan ingin mendapatkn kepastian mengapa dia ditinggalkan begitu sahaja. Dan akhirnya akhi ini pun mengalah dan dia pula diberikan hidayah oleh Allah. Masing-masing mula menyepi dan mantap di jalan dakwah.

Selepas bertahun-tahun menyepi akhi ini mula mencari ukhti tersebut di facebook. Dan selepas ukhti ini melakukan istikharah, yakin dengan ketentuan yang diberikan olehNya, ukhti tersebut terus memulakan langkah perkenalan untuk ke langkah seterusnya. Alhamdulillah, baru-baru ini saya menerima walimatulurus daripada mereka berdua. Bersyukur ke hadarat Illahi kerana usaha mereka mujahadah bertahun-tahun lamanya akhirnya berbaloi juga. Allahuakbar.  

Kisah 2
Seorang muslimah, alhamdulillah jodohnya ditetapkan awal oleh Allah. Menikah dengan seorang ikhwah. Yang kelihatan mantap di jalan dakwah. Gerak dakwah berterusan selepas perkahwinan sepertimana sebelum menikah. Namun kini kedua-duanya berhenti daripada terus bersama. Silapnya di mana? Wallahua'lam. Allah lebih tahu apa yang terjadi di tengah perjalanan perjuangan.
Kisah 3
Sudah beberapa tahun menunggu kedatangan seorang ikhwah. Namun belum datang bertandang. Dalam penantian, beberapa lamaran menjelma. Walaupun usia makin bertambah, namun setiap risikan dan lamaran ditolak dengan sebab lelaki tersebut bukan ikhwah yang didamba peribadinya.
Sehingga sampai ke satu masa, akhirnya tibalah saat-saat yang dinanti. Datanglah permintaan berbaitulmuslim dari seorang ikhwah, yang sangat mantap dalam gerak dakwahnya. Dan akhirnya istiqamah sehingga kini.
Saat ditanya, kenapa akak sanggup tunggu? Dia cuma tersenyum sambil berkata,
"kerana akak yakin akan janji Tuhan. Dan akak akan tetap tunggu 'ikhwah' sampai bila-bila. Dan dalam baitul muslim, bukan bergantung kepada siapa yang kita suka, tetapi kita perlu bersedia menerima sesiapa sahaja, asalkan dia tetap berpegang kepada fikrah yang sama. Itu prinsip akak."

Kisah 4
Tetap juga menunggu beberapa tahun sehingga lewat 20-an. Akhirnya datang lamaran daripada seorang lelaki, yang bukan mantap agamanya. Dan keduanya bertunang. Beberapa bulan selepas pertunangan, datanglah beberapa risikan daripada ikhwah melalui ibu usrahnya.
Namun takdir mendahului, sudah menjadi tunangan orang, yang bukan seorang ikhwah. Dan kini, alhamdulillah ukhti itu tetap bergerak, dan mendapat sokongan zaujnya walaupun bukanlah seorang pendokong. Namun tetap seorang penyokong yang baik.
Demikianlah takdir susunan Allah pasti adalah yang terbaik. Yang tinggal adalah apa yang kita betul-betul inginkan. Adakah hanya sebuah rumahtangga untuk menghalalkan hubungan? Atau sebuah perkahwinan supaya tidak bersendirian? Atau sebuah baitulmuslim untuk sama-sama berjuang di jalan dakwah?
Kesimpulannya, dalam merancang niat juga usah dilupakan. Niat awali lah ia hanya semata-mata kerana Allah. InsyaAllah, pastinya sebuah perancangan yang diniatkan keranaNya akan mendapat rahmat dan berkat dariNya. Jika seandainya perancangan kita itu tidak terjadi, pasti hati kita mudah merasa redha dan tenang menerimanya. InsyaAllah~
Wallahua'lam.

Travelog Rindu Cinta: Makna Cinta?



ANDAI ditanya kepada 10 orang lelaki dan 10 orang wanita akan makna cinta buat diri mereka, pasti jawapannya yang diperolehi adalah 20 jawapan yang berbeza dan antara jawapan yang popular adalah, "Cinta itu subjektif."
Benarkan begitu?
Benarkah cinta itu subjektif dan bukan bersifat objektif?
Ya, kita akui makna kepada cinta sudah dikaburi dan dikelabui dengan pelbagai anasir dan mehnah semasa yang terus membawa kemuliaan dan keindahan cinta daripada makna sebenarnya.
Dalam al-Quran ada menyebut mengenai limitasi cinta  yang membebat minda dan nubari umat manusia keseluruhannya. Allah nyatakan manusia sengaja diciptakan oleh-Nya dengan sifat itu.
Firman Allah yang bermaksud;
"Dihiaskan (dan dijadikan indah) kepada manusia: Kecintaan (al-hubb) kepada benda-benda yang diingini nafsu, iaitu perempuan-perempuan dan anak-pinak; harta benda yang banyak bertimbun-timbun daripada emas dan perak; kuda peliharaan yang bertanda lagi terlatih dan binatang-binatang ternak serta kebun-kebun tanaman. Semuanya itu adalah kesenangan hidup di dunia dan (ingatlah), di sisi Allah adalah tempat kembali yang sebaik-baiknya (iaitu Syurga)."    (Surah al-Imran 14)
Secara literal dapat kita fahami bahawa Allah memang sengaja mencipta fitrah kecintaan yang disukai oleh nafsu iaitu:
1.       Perempuan
2.       Anak-pinak
3.       Harta benda yang banyak daripada emas dan perak
4.       Kuda peliharaan yang bertanda lagi terlatih dan binatang-binatang ternak
5.       Kebun-kebun tanaman.

Nampaknya kesemua kriteria tersebut boleh dikiaskan dan dinisbahkan dengan kitaran hidup kebanyakan manusia pada hari ini yang;
Apabila sudah dewasa dan matang (kadang-kadang tidak cukup dewasa dan matang sekalipun), atau hari ini pengukurnya adalah setelah tamat pengajian ijazah sarjana muda dan mula bekerja, rasa ingin berteman atau lebih spesifik mencintai dan dicintai oleh pasangan masing-masing sehingga bekahwin.
Kemudian keinginan memiliki zuriat untuk mencintai dan dicintai bagi melengkapkan kehidupan sebagai sebuah keluarga. Pastinya mahu mengumpul sebanyak yang termampu harta benda sebagai tuntutan perjalanan kewangan semasa dan masa depan kemudian memiliki kenderaan yang selesa dan mempunyai rumah atau kawasan sendiri yang mempunyai kawasan dan permandangan mendamaikan.
Kemudian Allah nyatakan pada akhir ayat tersebut, "Semuanya itu adalah kesenangan hidup di dunia dan (ingatlah), di sisi Allah adalah tempat kembali yang sebaik-baiknya (iaitu Syurga)."
Mesej yang jelas dan padu daripada Allah buat hamba-Nya bahawa ada kecintaan yang lebih besar perlu dikejar kerana kecintaan tersebut punya nilai yang besar di sisi-Nya malah menjamin hamba-Nya itu ke syurga abadi.
Rumusannya adalah, Allah memberikan kriteria yakni hanya kecintaan yang akhirnya membawa manusia kembali kepada-Nya sahaja akan dijamin syurga abadi di akhirat kelak. Bermaksud, kecintaan yang tidak membawa kepada Allah akan mendapat natijah sebaliknya. Justeru, setiap kecintaan kepada perempuan, anak-pinak, harta benda, kenderaan dan kebun tanah sendiri perlu membawa di pencinta kepada Allah bukan sebaliknya.
Tahukah kita akan cinta itu?
Ada kurang lebih 60 istilah yang boleh dinisbahkan kepada cinta? Selain daripada perumpamaan seperti singa dan pedang, bencana yang besar, arak yang memabukkan dan pelbagai perumpaan yang dijadikan bahasa ekspresif golongan pencinta khususnya mereka yang pandai menukang syair dan puisi serta sajak.
Demikian dinyatakan oleh ilmuwan Islam besar, Syeikh Ibnu Qayyim al-Jauziyyah r.h. yang merupakan anak murid kanan Syeikhul Islam Ibnu Taimiyyah r.h. dalam karya yang berjudul Raudatul Muhibbin wa Nuzhatul Musytaqin.
Untuk menjadi seorang pencinta sejati dan mahu meletakkan kecintaan tersebut pada tempat yang sepatutnya, menjadi kawajaran kepada kita untuk mengetahui dan memahami akan istilah-istilah daripada dasar kepada kecintaan itu sendiri.
Cinta yang membawa kepada sebaik-baik tempat kembali yakni di sisi Allah Subhanahu Wa Ta'ala.

🌙 Ramadan: Bulan Yang Menyentuh Hati dan Menyucikan Jiwa

  Ramadan hadir bukan sekadar membawa kewajipan berpuasa, tetapi membawa pulang hati-hati yang lama tersasar kepada fitrahnya. Setiap kali t...