Tuesday, August 10, 2010

Masjid dirar peruntuh keutuhan ummah

Ayat Al-Quran
Asas perbincangan kita bertitik tolak daripada ayat ini;
“Dan (di antara orang-orang munafik itu) ada orang-orang yang mendirikan masjid untuk menimbulkan kemudharatan (pada orang-orang mukmin), untuk kekafiran dan untuk memecah belah antara orang-orang mukmin serta menunggu kedatangan orang-orang yang telah memerangi Allah dan RasulNya sejak dahulu. Mereka sesungguhnya bersumpah: “Kami tidak menghendaki selain kebaikan.” Dan Allah menjadi saksi bahawa sesungguhnya mereka itu adalah pendusta (dalam sumpahnya) *107* Janganlah kamu bersembahyang dalam masjid itu selama-lamanya. Sesungguhnya masjid yang didirikan atas dasar taqwa (masjid Quba), sejak hari pertama adalah lebih patut kamu solat di dalamnya. Di dalamnya masjid itu ada orang-orang yang ingin membersihkan diri. Dan sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang bersih. *108* Maka apakah orang-orang yang mendirikan masjidnya di atas dasar taqwa kepada Allah dan keredhaanNya itu yang baik, ataukah orang-orang yang mendirikan bangunannya di tepi jurang yang runtuh, lalu bangunannya itu jatuh bersama-sama dengan dia ke dalam neraka Jahannam. Dan Allah tidak memberikan petunjuk kepada orang-orang yang zalim. *109* Bangunan-bangunan yang mereka dirikan itu sentiasa menjadi pangkal keraguan dalam hati mereka, kecuali bila hati mereka itu telah hancur. Dan Allah Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana. *110* (Surah At-Taubah: 107, 108, 109, dan 110)
Asbabun Nuzul
Imam Jalaluddin As-Sayuti (w. 911 H)[1] meriwayatkan beberapa asbabun nuzul berkenaan ayat-ayat di atas dalam karya beliau yang bertajuk Lubaabun Nuqul Fi Asbabin Nuzul.
Pertama: Dalam satu riwayat ada dikemukakan bahawa Abu Amir Ar-Rahib berkata kepada sebahagian kaum Ansar yang sedang mendirikan masjid (Masjid Dirar): “Teruskan kerjamu mendirikan masjid dan siapkan kekuatan dan senjata perangmu semampu tenagamu. Aku akan berangkat ke Kaisar dan kembali membawa tentera-tentera Kaisar untuk mengusir Muhammad dan sahabat-sahabatnya”. Ketika masjid itu siap didirikan, mereka datang menghadap Rasulallah s.a.w. dan berkata: “Kami telah selesai mendirikan masjid kami dan kami sangat mengharapkan agar tuan solat di masjid kami.”
Maka turunlah ayat 108, Surah At-Taubah, melarang Rasulallah s.a.w. daripada solat di masjid itu. (Diriwayatkan oleh Ibn Marduwaih daripada Ali bin Abi Talhah daripada Ibn Abbas)
Dalam riwayat lain ada dikemukakan bahawa kaum munafik mendirikan masjid untuk menandingi Masjid Quba’ dengan harapan Abu Amir Ar-Rahib akan menjadi imam mereka di masjid itu apabila dia berkunjung ke sana. Setelah masjid itu selesai didirikan, mereka datang menghadap Rasulallah s.a.w. dan berkata: “Kami telah selesai mendirikan masjid kami dan kami sangat mengharapkan agar tuan solat di masjid kami.”
Maka turunlah ayat 108, Surah At-Taubah, melarang Rasulallah s.a.w. daripada solat di masjid itu. (Diriwayatkan oleh Al-Wahidi daripada Saad bin Abi Waqas)[2]
Imam Ibn Kathir (w.774 H)[3] menceritakan:
“Dikisahkan bahawa sebab turunnya ayat-ayat ini ialah seorang Nasrani di Madinah bernama Abu Amir Ar-Rahib daripada suku Khazraj. Dia mempunyai kedudukan erpandang dan terhormat serta disegani di kalangan kaumnya. Abu Amir Ar-Rahib merasa iri hati kepada Rasulallah s.a.w. tatkala baginda s.a.w tiba di Madinah dan agama Islam tersebar luas, ramai pula penganut dan pula Rasulallah s.a.w. menang dalam perang Badar. Masyarakat Madinah berpaling daripadanya kepada Rasulallah s.a.w. Dia kemudiannya, melarikan diri dan bersekutu dengan orang-orang Musyrikin Quraisy di Mekkah untuk memerangi Rasulallah s.a.w. Dan terjadilah perang Uhud di mana Abu Amir Ar-Rahib bertambah iri hati sekali lagi kerana gagal membunuh Rasulallah s.a.w.
Abu Amir Ar-Rahib melarikan diri ke Rom dan meminta bantuan Hercules untuk menghadapi Rasulallah s.a.w. dan sahabat-sahabat baginda s.a.w. Dia menulis surat kepada beberapa orang munafik di Madinah memberitahu bahawa dia telah mendapat bantuan Hercules untuk memerangi Rasulallah s.a.w. dan dia meminta disediakan baginya tempat untuk menjadi markas melaksanakan rancangan jahat mereka. Maka didirikankan sebuah masjid. Setelah masjid itu selesai didirikan, mereka datang menghadap Rasulallah s.a.w. dan berkata: “Kami telah selesai mendirikan masjid kami dan kami sangat mengharapkan agar tuan solat di masjid kami.”
Rasulallah s.a.w. yang bergegas untuk peperangan Tabuk menolak permintaan mereka dengan bersabda:
ان على سفر ولكن اذا رجعنا ان شاء الله
“Sesungguhnya kami sekarang dalam keadaan musafir dan insya Allah sekembali, kami akan penuhi pemintaan anda”
Selepas peperangan Tabuk dan baginda berhenti di Dhu Awan, turunlah malaikat Jibril membawa wahyu Allah:[4]
“Dan (di antara orang-orang munafik itu) ada orang-orang yang mendirikan masjid untuk menimbulkan kemudharatan (pada orang-orang mukmin), untuk kekafiran dan untuk memecah belah antara orang-orang mukmin serta menunggu kedatangan orang-orang yang telah memerangi Allah dan RasulNya sejak dahulu. Mereka sesungguhnya bersumpah: “Kami tidak menghendaki selain kebaikan.” Dan Allah menjadi saksi bahawa sesungguhnya mereka itu adalah pendusta (dalam sumpahnya) *107* Janganlah kamu bersembahyang dalam masjid itu selama-lamanya. Sesungguhnya masjid yang didirikan atas dasar taqwa (masjid Quba), sejak hari pertama adalah lebih patut kamu solat di dalamnya. Di dalamnya masjid itu ada orang-orang yang ingin membersihkan diri. Dan sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang bersih. *108*
Lalu Rasulullah s.a.w. menyuruh beberapa orang sahabat iaitu Malik bin Ad-Dakhsyim, Maan bin Adi atau saudaranya ‘Asim bin Adi dengan kata Baginda s.a.w;
انطلقوا الى هذا المسجد الظالم أهله فاهدموه و أحرقوه
“Berangkatlah kamu kepada masjid ini yang zalim ahlinya dan hancurkannya dan bakar olehmu akannya”
Lalu mereka melakukan suruhan nabi tersebut sehinggakan masjid itu rata.
“Ibn Ishak (w. 150 H)[5] telah menyebut tentang pembinaan masjid yang dibina oleh kaum yang zalim dan bagaimana Rasulallah s.a.w. memerintahkan supaya masjid ini dirobohkan sekembalinya baginda s.a.w. dari Tabuk, iaitu sebelum masuk ke Madinah. Segolongan orang munafik telah membina sebuah masjid yang menyerupai reka bentuk masjid Quba’. Mereka berbuat demikian supaya Rasulallah s.a.w. bersembahyang di dalamnya. Ini akan menyenangkan mereka melakukan kejahatan, kekufuran, dan keingkaran di dalamnya sesuka hati mereka. Akan tetapi, Allah s.w.t. memelihara rasulNya daripada bersembahyang di dalam masjid itu. Permintaan mereka ini diajukan sebelum pemergian Rasulallah s.a.w. ke Tabuk. Setelah Rasulallah s.a.w. kembali dari Tabuk, baginda s.a.w. berhenti di Dhu Awan (sebuah tempat yang terletak sejauh satu jam perjalanan dari Madinah). Ketika itu, turun wahyu kepada Rasulallah s.a.w. menerangkan masjid itu.
Masjid tersebut dinamakan Al-Dhirar kerana orang munafik mahu menggugat keutuhan dan pengaruh masjid Quba’, mengkufurkan Allah dan tidak mahu beriman denganNya, memecah belahkan jamaah dari masjid Quba’ dan menjadi tempat intipan bagi orang yang telah memerangi Allah dan rasulNya sebelum ini.”[6]
Tafsir Ayat
“Berkata Imam Abu Ja’far (Tafsir At-Thabari, XIV/469) bahwa makna ‘dhiraran’(keburukan) ertinya keburukan terhadap jamaah kaum mukminin, cenderung kepada kekufuran kerana memusuhi Rasulallah s.a.w., serta memecah-belah shaf jamaah kaum beriman agar mereka ini salat di masjid mereka dan juga di masjid Nabi s.a.w., sehingga shaf kaum muslimin menjadi berselisih lalu berpecah-belah, maka itu menguntungkan pimpinan mereka iaitu Abu Amir Ar-Rahib yang memusuhi Rasulallah s.a.w. dan ingin menghancurkannya, lalu setelah itu mereka masih berani bersumpah: Bahawa tujuan kami melakukan ini (membina masjid) hanyalah untuk kebaikan semata.! Tetapi Allah menjadi saksi bahawa mereka hanya berdusta belaka.”[7]
Berkata Imam Ibnu Kathir menambahkan: “ Menurut Ibn Ishak, orang yang membina masjid Dirar seramai 12 oran, iaitu:
1. Khidzam ibnu Khalid (masjid Dirar dibina bersebelahan dengan rumahnya)
2. Tsa’labah Ibn Hathib
3. Ma’tab ibn Qusyair
4. Abu Habibah ibn Adz’ar
5. Ubbad ibn Hanif (ia adalah masih saudara kandung dari Sahl Ibnu Hunaif sahabat Rasulallah s.a.w.)
6. Jariyyah ibn ‘Amir
7. Mujma’ dan Zaid (kedua-duanya anak Jariyyah)
8. Nabtal ibn Harith
9. Bakhraj
10. Bajad ibn Uthman
11. Wadi’ah Ibnu Tsabit.”[8]
Antara tujuan orang-orang munafik membina masjid itu adalah sebagai tempat berkumpul dan merancang strategi untuk memerangi Allah dan rasulNya. Allah s.a.w. menerangkan perbuatan mereka:
“... serta menunggu kedatangan orang-orang yang telah memerangi Allah dan RasulNya sejak dahulu.”
Kemudian Allah s.w.t. berfirman lagi;
“... Dan mereka sesungguhnya bersumpah (dengan berkata): ...”
Maksud ayat di atas, orang munafik yang membina masjid Dirar. Allah berfirman;
“ ... Kami tidak menghendaki selain kebaikan.”
Maksud ayat tersebut ialah, orang munafikin mahu membina masjid Dirar kononnya untuk tujuan yang baik. Allah berfirman;
“... Dan Allah menjadi saksi bahawa sesungguhnya mereka itu adalah pendusta (dalam sumpahnya) ...” Kemudian Allah berfirman kepada rasulNya;
“Janganlah kamu bersembahyang dalam masjid itu selama-lamanya....”
Allah s.w.t. melarang Rasulallah s.a.w. mendirikan sembahyang di dalam masjid tersebut. Allah s.w.t. memerintahkan baginda s.w.t. agar mendirikan solat di Madinah yang diasaskannya berdasarkan takwa iaitu masjid Quba’ semenjak awal wujudnya lagi. Terdapat hadith-hadith baginda s.a.w. yang menerangkan keutamaan masjid Quba’. Antaranya ialah hadith sahih yang berbunyi:
صلاة في مسجد قباء كعمرة
“Solat di masjid Quba’ adalah seperti melakukan ibadah umrah”
Kata Imam Ibn Kathir: “Masjid Rasulallah s.a.w. lebih utama daripada masjid Quba’”[9]
“Al-Sayuti mencatat di dalam Al-Durr Al-Manthur beberapa riwayat yang menyatakan bahawa Nabi Muhammad s.a.w bertanya penduduk Quba’ tentang sebab pujian Allah kepada mereka dalam ayat ini (ayat 108: Surah At-Taubah). Mereka menjawab bahawa mereka beristinjak dengan air dan setengahnya pula beristinjak dengan batu diikuti dengan air. Beliau menyebut bahawa Ibn Majah, Ibn Al-Mundhir, Ibn Abi Hatim, Al-Darqutni, Al-Hakim dan perawi-perawi lain yang meriwayatkan daripada Talhah bin Nafi’ berkata: Abu Ayyub, Jabir bin Abdillah dan Anas bin Malik telah menyatakan kepadaku bahawa, setelah diturunkan ayat:فيه رجال يحبون أن يتطهروا Rasulallah s.a.w. bersabda: Wahai golongan Ansar sesungguhnya Allah s.w.t telah memuji keelokan kamu dalam bersuci. Apakah jenis bersuci kamu ini? Mereka menjawab: Kami mengambil wuduk untuk mengerjakan sembahyang dan mandi junub. Nabi s.a.w. bertanya lagi: Adakah lagi perbuatan lain selain daripada itu? Mereka menjawab: Dalam kalangan kami apabila membuang air besar, dia lebih suka beristinjak dengan air. Nabi s.a.w. bersabda: Itulah yang menyebabkan kamu dipuji.[10]
Fathi Yakin membawa perkataan Syeikh Khudari dalam kitabnya yang bertajuk Nurul Yaqin:
“Ikut serta menolong golongan Munafiq meneruskan cita-cita mereka membina masjid Dirar ini ialah segelintir orang-orang Arab Madinah yang keliru dan tidak menerima dakwah Muhammad s.a.w. Mereka menyembunyikan kekafiran kerana takut nyawa mereka tergugat. Pemimpin kumpulan ini bernama ‘Abdullah bin Ubai bin Salul Al Khazraji. Sebelum Rasulullah s.a.w berhijrah ke Madinah beliau pernah dicalonkan untuk menjadi ketua penduduk Madinah Sesungguhnya tidak diragukan lagi tentang bencana Munafik terhadap orang Islam lebih besar daripada bencana yang mungkin diakibatkan oleh orang-orang kafir. Orang-orang Munafik hidup bersama orang-orang Islam, mengetahui rahsia mereka dan membocorkan rahsia mereka kepada musuh sama ada golongan Yahudi atau golongan yang lain sepertimana yang kerap berlaku. Meskipun prinsip-prinsip yang dipegang oleh Rasulullah s.a.w terhadap mereka ialah menerima apa yang nyata dan meninggalkan segala yang tersirat dalam hati kepada ketentuan Allah s.w.t. tetapi Rasulullah s.a.w tidak pula mengamanahkan kepada mereka melakukan sesuatu apa pun. Contohnya Rasulullah s.a.w sering meninggalkan Madinah dan sering pula mewakilkan kekuasaannya kepada beberapa orang Ansar. Rasulullah s.a.w tidak pernah mengangkat mana-mana orang yang diketahuinya mempunyai ciri-ciri kemunafiqan, kerana Rasulullah Sallallahu’alaihi Wasallam mengetahui akibat yang mungkin berlaku jika sekiranya mereka diangkat menggantikan beliau semasa beliau tidak ada. Mereka pasti akan mengambil kesempatan tersebut untuk merosakkan orang-orang Islam. Ini satu pelajaran penting mesti difahami oleh ketua dan pemimpin Islam. Rasulullah s.a.w mengajar mereka supaya dalam hal-hal yang penting tidak mempercayakan perlaksanaannya kepada orang-orang yang mempunyai ciri-ciri kemunafikan atau menonjolkan apa yang berlawanan dengan isi hatinya.”[11]
Kemudian Allah berfirman lagi;
“Maka apakah orang-orang yang mendirikan masjidnya di atas dasar taqwa kepada Allah dan keredhaanNya itu yang baik, ataukah orang-orang yang mendirikan bangunannya di tepi jurang yang runtuh, lalu bangunannya itu jatuh bersama-sama dengan dia ke dalam neraka Jahannam. Dan Allah tidak memberikan petunjuk kepada orang-orang yang zalim. *109* Bangunan-bangunan yang mereka dirikan itu sentiasa menjadi pangkal keraguan dalam hati mereka, kecuali bila hati mereka itu telah hancur. Dan Allah Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana. *110* (Surah At-Taubah: 109, dan 110)
Imam Ibn Kathir berkata: “Tidaklah sama orang yang mendirikan bangunannya (masjid) atas dasar takwa kepada Allah s.w.t. dan keredhaanNya dengan orang-orang yang mendirikan masjid atas dasar kekafiran dan dengan tujuan memecah persatuan dan membawa kemudharatan serta untuk tempat persediaan memerangi Allah s.w.t. dan rasulNya. Mereka itu yang disebut sebagai mendirikan bangunannya di atas tepi jurang yang runtuh yang akan membawa bersama mereka ke dalam api neraka Jahannam. Dan Allah s.w.t. tidak akan memberi petunjuk bagi orang-orang yang zalim.”[12]
Keputusan Majlis Fatwa Kebangsaan
Kategori: Sosial/Syariah
Tajuk: Masjid Dirar
Isu: Pengertian Masjid Dirar
Keputusan :
Setelah perbincangan Jawatankuasa Fatwa berpendapat;

Pengertian Masjid Dirar:

Dengan merujuk kepada kitab-kitab Tafsir Masjid Dhirar ialah masjid yang didirikan dengan tujuan memusuhi orang-orang Islam, dan memudharatkan perkembangan agama Islam, memudharatkan umatnya, membahayakan Dakwah Islamiah sebagaimana Firman Allah dalam Surah At-Taubah ayat 107.

Mereka yang menjadikan masjid untuk membahayakan, untuk menunjukan kekufuran, untuk memecah-belahkan antara orang-orang Mukmin, untuk menjadi tempat mengintip bagi mereka yang memusuhi Allah dan Rasulnya sebelum itu, mereka bersumpah kami bertujuan baik sedangkan Allah mengingatkan mereka berdusta. Firman Allah لا تقم فية ابدا ...الخ.

Ulasan Jawatankuasa:

Berdasarkan kepada huraian di atas maka mana-mana tempat ibadah yang didirikan dengan maksud-maksud atau salah satu maksud itu adalah termasuk dalam hukum Masjid Dirar dan bertentangan dengan matlamat ajaran Islam, supaya umat Islam berkenal mesra di antara satu sama lain, berbaik-baik, bersatu padu dan saling bantu membantu. Oleh sebab itu membina masjid baru di tempat yang telah sedia ada masjid dan pembinaan itu adalah suatu amalan yang bercanggah dengan matlamat ajaran Islam, dan masjid itu adalah termasuk di bawah hukum Masjid Dirar. Pembinaan masjid tidak dikira sebagai suatu amalan kebajikan yang diterima di sisi Allah kecuali ianya dilakukan untuk keperluan para ahli jemaah dan bukan bagi tujuan memecahbelahkan para jemaah.

Di dalam hal ini para Fuqaha’ telah menyarankan pendapat-pendapat mereka di dalam kitab-kitab Fekah tentang hukum berbilang Jumaat di dalam satu mukim atau satu Daerah, dan mana-mana tempat yang memerlukan berbilang-bilang Jumaat adalah terlebih dahulu diperlukan mendapat keizinan pemerintah (Ulul Amri) kerana pada dasarnya setiap daerah atau mukim seboleh-bolehnya mestilah mempunyai satu tempat sahaja untuk didirikan Jumaat.

Pendapat Jawatankuasa
:

Atas konsep Dirar maka mana-mana masjid atau tempat ibadah yang difikirkan boleh membawa berpecah-belah umat Islam serta fitnah adalah wajar dirobohkan sebagaimana Rasulullah s.a.w merobohkan Masjid Dhirar yang telah didirikan bagi menyaingi Masjid Qaba’ di masa hayat baginda.[13]
Komentar
Orang-orang yang munafik memang ada di mana-mana dan dalam zaman apa pun sepanjang sejarah tidak sunyi dan kewujudan mereka. Ini adalah kerana motif dan karenah kemunculan golongan ini memang ada dan mungkin wujud bila-bila masa. Ada yang menjadi munafik didorong oleh pertimbangan untuk merangkul kepentingan duniawi. Kadang-kadang ia berselindung di sebalik taqwa dan agama untuk sampai kepada tujuannya. Ada yang menjadi munafik dengan tujuan mencetuskan krisis, melaga-laga dan memecah-belahkan barisan umat Islam. Ada yang berbuat demikian kerana niat jahatnya sendiri. Ada pula yang mendapat arahan dan orang lain. Mereka pun meresapi jamaah untuk tujuan-tujuan tadi. Terdapat juga golongan yang sifat munafik telah mendarah daging dalam dirinya hingga sukar untuk melepaskan diri dari sifat ini. Ada yang menjadi munafik untuk berkuasa atau melepaskan diri dan penindasan penguasa. Dengan sifat ini orang munafik cuba merangkul habuan dunia yang fana, atau pangkat kebesaran yang tidak kekal. Ia malah sanggup menjual agamanya dengan mendapat bayaran kesenangan dunia. Kadang-kadang sifat ini ditimbulkan oleh rasa dendam, atau dengki atau kedua-duanya sekali. Manusia munafik mempunyai sifat-sifat dan perwatakan tertentu. Sifat golongan munafik ini sebagaimana diberitahu Rasulullah s.a.w. berakar umbi daripada tiga iaitu apabila dia berkata dia berdusta, apabila dia berjanji dia akan mungkiri dan apabila dia berjanji dia akan khianati. Mereka juga;
“Sesungguhnya orang-orang munafik itu menipu Allah, dan Allah akan membalas tipuan mereka. Dan apabila mereka berdiri untuk solat mereka berdiri dengan malas. Mereka bermaksud riya (dengan solat) di hadapan manusia. Dan tidaklah mereka menyebut Allah kecuali sedikit sekali.” (Surah An-Nisa’: 142)
Allah s.w.t. menjanjikan kepada mereka;
“Sesungguhnya orang-orang munafik itu (ditempatkan) pada tingkatan yang paling bawah dari neraka. Dan kamu sekali-kali tidak akan mendapat seorang penolong pun bagi mereka.” (Surah An-Nisa’: 145). Tujuan asal mereka sepertimana firman Allah s.w.t.:
Mereka ingin memadamkan cahaya Allah dengan mulut (tipu daya) mereka, tetapi Allah menyempurnakan cahayaNya, walau orang-orang kafir membencinya." (Surah As-Saff: 8)
Contoh lain untuk kejahatan golongan munafik ini adalah peristiwa Aishah r.a. difitnah atau juga dikenali dengan ‘Hadith Al-Ifk’. Peranan mereka ini membawa berita palsu tentang Aishah r.a. Fathi Yakan menukilkan perkataan Sayyid Qutb:
Sesiapa pun mesti akan merasa aneh walaupun hingga kini, terhadap peristiwa ini. Bagaimana boleh berlaku dalam suatu kumpulan jemaah Muslimin boleh berleluasa tersebar berita buruk dan cerita dusta seperti ini. Berita ini pasti meninggalkan kesan yang berat dalam jamaah, menimbulkan luka yang dalam, di dalam jiwa yang paling suci dan paling tinggi’. Sesungguhnya kemelut yang dihadapi oleh Rasulullah s.a.w. dan terutamanya yang diharungi oleh jamaah Muslimin dan Islam ketika itu adalah kemelut yang paling hebat yang pernah dihadapi oleh Baginda s.a.w. di mana Baginda s.a.w. dapat mengatasinya. Baginda dapat terus melindungi kewibawaannya, membuktikan kelapangan dada dan kesabarannya.”[14]
Mengingatkan akan bahayanya golongan ini, Allah s.w.t menurunkan Surah Al-Munafiqun.
Kesimpulan
Saya menukilkan kata-kata daripada Imam Ibn Kathir:
“Masjid tersebut dinamakan Al-Dirar kerana orang munafik mahu menggugat keutuhan dan pengaruh masjid Quba’, mengkufurkan Allah dan tidak mahu beriman denganNya, memecah belahkan jamaah dari masjid Quba’ dan menjadi tempat intipan bagi orang yang telah memerangi Allah dan rasulNya sebelum ini.”
Tujuan didirikan masjid Dirar’ dijelaskan seperti berikut;
· Pertama ialah mahu menggugat keutuhan dan pengaruh masjid Quba’.
· Kedua ialah mengkufurkan Allah dan tidak mahu beriman denganNya
· Ketiga ialah memecah belahkan jamaah dari masjid Quba’
· Keempat ialah menjadi tempat intipan bagi orang yang telah memerangi Allah dan rasulNya sebelum ini.
Seharusnya setiap masjid itu didirikan atas dasar takwa kepada Allah. Penulis melihat terdapat penyakit dalam masyarakat Islam hari ini dalam hal mendirikan masjid iaitu mendirikan masjid adalah dengan tujuan bersaing dalam pembinaannya bukan pula dalam mengimarahkannya. Bermaksud, siapa yang lebih besar binaan dan lebih tinggi menara masjidnya, maka merekalah yang akan menang. Tidaklah elok jika masjid didirikan untuk tujuan itu.
Sebesar mana pun binaan masjidnya atau setinggi mana pun tinggi menara masjidnya, andai tidak dengan asas takwa, maka di kemudian hari, masjid itu akan menjadi lengang daripada umat Islam yang mengimarahkannya.
Dalam satu data yang dikeluarkan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), pada tahun 1993, terdapat 4841 buah masjid di seluruh Malaysia manakala surau pula berjumlah 10 364 buah Jurnal Pendidikan Islam, 1995).[15] Dan kini, tahun 2010, jumlah itu tentunya akan bertambah.
Kekuatan umat Islam bergantung kepada kekuatan tauhid dalam dua pengertian, iaitu ‘Tauhidullah’ (mengesakan Allah) dan ‘Tauhidulummah’ (menyatupadukan ummah). Kekuatan yang pertama itu letaknya pada hati setiap individu-individu Muslim manakala kekuatan yang kedua itu letaknya pada jemaah kaum Muslimin. Andai disatukan kedua kekuatan ini, kaum Muslimin akan mencapai kemenangan seperti yang dijanjikan Allah s..w.t.
Rujukan
1. Imam Jalaluddin As-Sayuthi (Penyunting Norizan binti Mohammad), Asbabun Nuzul: Sejarah Turunnya Ayat-Ayat Al-Quran, Victory Agencie, 2004
2. Ibn Kathir, Terjemahan Singkat Tafsir Ibn Kathir (Diterjemahkan oleh H.Salim Bahreisy dan H.Said Bahreisy), Victory Agencie, 2006
3. Ibn Kathir, Sejarah Tamadun Islam (Bidayah Nihayah), Dewan Bahasa Dan Pustaka, 2005
4. Dr. Mustaffa Abdullah, Rasyid Rida Pengaruhnya di Malaysia, Penerbit Universiti Malaya, 2009
5. Fathi Yakan, Rintangan Perjuangan Dalam Kehidupan Pendakwah,http://alambuku.tripod.com/pdf/Rintangan%20Perjuangan%20Pendakwah.pdf
6. Dr. Zulkiple Abdul Ghani, Koleksi Kertas Kerja Pengurusan Masjid, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia, 2002


[1] Abu al-Fadl 'Abd al-Rahman ibn Abi Bakr, Jalal al-Din al-Suyuti (Rejab 849 H-Jamadil Awal 911 H). Antara kitab karangan beliau adalah Tafsir Jalalain, Al-Jami’ Al-Kabir, Al-Jami’Al-Saghir.
[2] Imam Jalaluddin As-Sayuthi (Penyunting Norizan binti Mohammad), Asbabun Nuzul: Sejarah Turunnya Ayat-Ayat Al-Quran, Victory Agencie, 2004
[3] Al-Fida, 'Imad Ad-Din Isma'il bin 'Umar bin Kathir Al-Qurashi Al-Busrawi (701 H-774H). Antara kitab karangan beliau adalah Tafsir Al-Quran Al-Azim, Bidayah Nihayah, Sirah Nabawiyyah.
[4] Ibn Kathir, Terjemahan Singkat Tafsir Ibn Kathir (Diterjemahkan oleh H.Salim Bahreisy dan H.Said Bahreisy), Victory Agencie, 2006)
[5] Muḥammad ibn Isḥak ibn Yasaar ( 85 H-150 H)
[6] Ibn Kathir, Sejarah Tamadun Islam (Bidayah Nihayah), Dewan Bahasa Dan Pustaka, 2005
[7] http://www.al-ikhwan.net/fenomena-masjid-dhirar-di-masa-nabi-saw-2025/
[8] Ibn Kathir, Sejarah Tamadun Islam (Bidayah Nihayah), Dewan Bahasa Dan Pustaka, 2005
[9] Ibn Kathir, Sejarah Tamadun Islam (Bidayah Nihayah), Dewan Bahasa Dan Pustaka, 2005
[10] Dr. Mustaffa Abdullah, Rasyid Rida Pengaruhnya di Malaysia, Penerbit Universiti Malaya, 2009
[11] Fathi Yakan, Rintangan Perjuangan Dalam Kehidupan Pendakwah,http://alambuku.tripod.com/pdf/Rintangan%20Perjuangan%20Pendakwah.pdf
[12] Ibn Kathir, Terjemahan Singkat Tafsir Ibn Kathir (Diterjemahkan oleh H.Salim Bahreisy dan H.Said Bahreisy), Victory Agencie, 2006)
[13] http://www.e-fatwa.gov.my/mufti/fatwa_warta_view.asp?keyID=1981
[14] Fathi Yakan, Rintangan Perjuangan Dalam Kehidupan Pendakwah,http://alambuku.tripod.com/pdf/Rintangan%20Perjuangan%20Pendakwah.pdf
[15] Dr. Zulkiple Abdul Ghani, Koleksi Kertas Kerja Pengurusan Masjid, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia, 2002

No comments:

Post a Comment

Rumahku Syurgaku~

Alhamdulillah..syukur kami sekeluarga panjatkan pada Allah, akhirnya sy dan isteri serta anak kami punya rumah sendiri, walaupun simple tp k...