Sahabatku ^_^

Kebaikan Berpuasa



Sesungguhnya setiap suruhan dan larangan Allah itu tidak sia-sia. Malah dihiasi dengan seribu satu kebaikan bagi mereka yang sentiasa mengkaji dan menginsafi setiap kejadian alam. Sebagai umat yang berpegang kepada syariat-Nya, kita dituntut supaya sentiasa mengkaji hikmah di sebalik kejadian dan suruhan Allah. Maka, ilmu sains dapat memberikan kita penjelasan yang lebih mendalam bagi memahami hikmah bagi setiap kejadian seterusnya meningkatkan keimanan terhadap Alah S.W.T.

Seluruh pakar perubatan telah bersetuju bahawa kantung perut yang penuh disebabkan banyak makan adalah punca utama kepada bermacam-macam penyakit terutamanya kegendutan yang menyebabkan timbulnya sub penyakit lain. Maka, puasa adalah satu-satunya cara yang dapat memelihara anggota badan daripada semua penyakit kerana melaluinya unsur-unsur racun di dalam makanan dapat dineutralkan setelah berpadu di antara satu sama lain. Dalam bidang perubatan, kesan lapar adalah lebih baik daripada penggunaan ubat secara berterusan. Manusia digalakkan berpuasa walaupun tidak menghadapi sebarang penyakit. Ini kerana ia dapat membersihkan badan dari racun-racun yang berkumpul di dalamnya.

Selain itu, Dr. Hisyam Ibrahim Al-Khatib, dalam kitab ‘Al-Wafiz Fi Al-Tib’ menjelaskan puasa juga telah memberi peluang kepada organ-organ di dalam tubuh badan untuk memperbetulkan semula sistem penghadaman. Pengambilan makanan yang tidak terkawal atau lebih daripada kadar keperluan badan juga menyebabkan sistem yang bertindak mengawal badan terpaksa bekerja lebih kuat bagi mengimbangi seluruh pergerakan badan. Oleh itu, penyakit-penyakit seperti seperti tekanan darah tinggi, pertambahan lemak dan peningkatan gula dalam darah amat mudah menyerang dan melemahkan kekuatan badan seseorang individu. Jadi, berpuasa adalah jalan terbaik bagi memulihkannya kerana dengannya wujud satu sistem baru dalam badan yang bertindak mematikan sel-sel lama untuk digantikan dengan sel-sel baru yang lebih baik dan bertenaga.

Amalan puasa terutamanya puasa Ramadhan merupakan amalan baik bagi mereka yang ingin menurunkan berat badan sehingga mencapai ke satu tahap yang dikehendaki. Ditambah pula jika ia diteruskan dengan perlaksanaan puasa sunat seperti berpuasa di bulan Rejab dan Syaaban seterusnya Isnin dan Khamis. Nescaya akan terpeliharalah tahap kesihatan seseorang.

Dr. Samir Abbas Malik Abdul Aziz, seorang pakar perubatan Islam dari Arab Saudi telah melakukan eksperimen terhadap 21 penduduk tentang kesan puasa pada kesuburan lelaki. Hasilnya didapati puasa adalah satu cara yang amat berkesan untuk menghasilkan benih dan pertumbuhan kesuburan. Dari sudut kesuburan seorang wanita, puasa juga merupakan satu cara yang dapat mengurangkan kesan hormon broloktin yang menyebabkan kemandulan.

Puasa dapat menghakis ketagihan merokok, seterusnya sebagai permulaan yang baik bagi individu yang merokok untuk menamatkan perbuatan membazir dan memudharatkan itu. Jika dilihat, apabila seseorang perokok itu berpuasa, maka dengan keimanan yang ada ia telah mampu mengawal ketagihannya sehingga waktu berbuka.

Dari sini dapat disimpulkan bahawa puasa dapat merehatkan sistem tubuh dan dapat mengelakkan penyakit-penyakit seperti kencing manis, tekanan darah tinggi dan kegendutan. Selain itu, ini merupakan cara terbaik bagi mengurangkan berat badan daripada mengambil pil-pil pelangsing yang mungkin boleh mendatangkan risiko pada tubuh badan. Secara tidak langsung, amalan-amalan seperti ketagihan merokok, dadah dan minuman keras yang boleh membawa kerosakan di dalam badan dapat dihakis.

Keseluruhannya, puasa dapat mendidik tubuh badan untuk mengambil makanan sekadar keperluan sahaja. Seterusnya ia juga dapat melambatkan proses penuaan, membantu proses perkumuhan, menyingkirkan racun di dalam badan dan yang paling menarik sekali ialah dapat menambahkan nikmat dan kelazatan makanan setelah sehari suntuk menahan diri dari makan dan minum. Hebatnya segala syariat yang telah ditetapkan kepada hamba-hambaNya, ayuh kita perjuangkan kedaulatan segala syariat Allah.
Ihsan Mimbar Ulama

No comments:

Post a Comment

Pages

adsbanner