Sahabatku ^_^

Puasa Rohani Dan Jasmani





Orang yang berpuasa bukan sahaja bepuasa zahir iaitu tidak makan, minum dan bersetubuh daripada terbit fajar sehingga terbenam matahari, tetapi juga menahan segala perkara yang boleh mengurangkan paahala puasa seperti mengumpat dan membuat kezaliman. Rosak sedikit sahaja niat mengenainya, maka rosaklah puasa rohani.




Puasa jasmani terikat dengan masa dari terbit fajar sehingga terbenam matahari, sementara puasa rohani pula berkekalan di dalam kehidupan sementara serta kehidupan abadi di akhirat. Inilah puasa yang sebenar. Sekiranya kita hanya mengambil pengertian umum puasa itu, maka jadilah puasa itu sebagai ‘adat’ yang perlu dilakukan setahun sekali.



Oleh itu, amalan berpuasa hendaklah sentiasa diseimbangkan antara puasa rohani dan jasmani. Nabi s.a.w bersabda:

“Ramai orang yang berpuasa tidak mendapat apa-apa daripada puasanya kecuali lapar dan dahaga”. 




Oleh itu, walaupun setelah berbuka, tetapi puasa rohani akan berjalan terus walaupun matahari sudah terbenam, walaupun mulut sudah merasakan makanan tetapi mulut yang sama dituntut untuk terus menahan diri daripada mengeluarkan sesuatu yang bersalahan bahkan hendaklah menjaga segala pancaindera dan pemikiran supaya bebas daripada kejahatan dan perkara yang menyakitkan orang lain.





Puasa rohani dan jasmani adalah puasa yang sebenarnya yang akan memberi kesan positif pada jasad kerana dapat meningkatkan kesihatan dan dalam masa yang sama dapat memberi input pada roh dari segi ketakwaan. Ini kerana kejadian manusia secara fitrahnya terdiri daripada jasad dan roh yang perlu ada keseimbangan antara satu sama lain.





Puasa merupakan benteng pertahanan dalaman yang dapat menolak segala arus-arus yang boleh membawa kepada keburukan dan maksiat seperti penzinaan, mengumpat dan sebagainya. Justeru, umat Islam dituntut memperbanyakkan membaca al-Quran, berzikir dan lain-lain yang boleh mempertingkatkan keimanan seseorang.




Rasulullah s.a.w telah memberikan petunjuk kepada umatNya tentang 2 jenis puasa seperti dalam sabda Baginda s.a.w:


"لِلْصَائِمِ فَرْحَتَان فَرْحَةٌ عِنْدَ الْفِطَار وَ فَرْحَةٌ عِنْدَ لِقَاءِ رَبِّهِ"


“Bagi orang yang berpuasa mendapat 2 kegembiraan; pertama apabila ia berbuka dan kedua apabila ia bertemu Tuhannya”.



Puasa yang pertama ialah puasa jasmani dimana setelah sehari suntuk menahan diri daripada segala perkara yang membatalkan puasa maka tibalah masanya untuk berbuka yang digambarkan oleh Nabi s.a.w sebagai suatu kegembiraan iaitu kegembiraan jasmani yang akan menyegarkan kembali tubuh badan serta melunaskan kembali segala perkara yang tidak dapat dilakukan sewaktu puasa.

Manakala puasa kedua iaitu puasa rohani juga akan menikmati kegembiraannya apabila ia dapat mengadap Penciptanya dengan menikmati kalimah syahadah untuk menundukkan hatinya pada Allah, bersujud menundukkan seluruh anggota kepada Allah, menunaikan zakat untuk menundukkan hartanya kepada Allah, gembira dengan ibadah puasa yang disempurna untuk menundukkan nafsunya kepada Allah.

Amat berhargalah bagi orang yang mampu berpuasa rohani dan jasmani kerana ia dapat menikmati 2 jenis puasa yang merupakan puasa yang sebenarnya dengan menjauhkan diri daripada melakukan sesuatu yang boleh mengundang kemurkaan Allah.

Sesungguhnya, tidak ada yang berharga untuk diingini, tiada yang dikasihi di dalam dunia ini dan di akhirat, melainkan Allah S.W.T. Walau secebis zarah sahaja daripada sesuatu memasuki hati selain kecintaan kepada Allah, maka batallah puasa rohani. Maka, seseorang perlu memperbaharuinya, menghadapkan segala kehendak dan niat kembali kepada Allah S.W.T. Oleh kerana puasa itu begitu besar falsafah ibadahnya maka layaklah hanya Allah sahaja yang akan menilai sendiri amalan kita. Sesungguhnya Allah S.W.T telah berfirman di dalam hadis qudsi:

"الصِّـيَامُ لِي وَأَنَا أَجْزِي بِهِ"

“Puasa adalah untuk-Ku dan hanya Aku yang membalasnya”.



Buat para daie di jalan Allah, sejarah sepanjang Ramadhan membuktikan umat Islam berada ditahap kekuatan kerohanian tertinggi yang mampu diterjemahkan di dalam perjuangan mereka.Contohi mereka.

No comments:

Post a Comment

Pages

adsbanner